Kritikan vs Pujian

Kritikan dan sindiran sering menghiasi diari perbicaraan mengenai tahap keterlibatan di dalam jamaah. Semua individu diukur sama termasuk faktor yang melingkarinya, lalu kritikan dan sindiran disampaikan sebagai hukuman kepada yang dianggap gagal mencapai julat dari para pengkritik dan penyindir. Pengkritik mungkin merasakan diri telah melakukan segala-galanya sedangkan yang dikritik dianggap tidak menghiraukan apa yang dianggap pengkritik wajar dibuat. Masing-masing terasa hati yang merenggangkan ukhuwwah. Akhirnya yang dikritik merasa tersisih dan terus membawa diri menjauhi bimbingan.

Hal ini tidak sewajarnya berlaku jika rukun usrah difahami dan dihayati sebaiknya. Sewajarnya kedua-dua pihak saling memahami bahawa mereka amat memerlukan antara satu sama lain, sama memperkuatkan dan memotivasikan.

Kritikan dan sindirin perlu dijauhi sebaliknya pujian harus datang dari yang berkemampuan. Kerana pujian kepada yang mulai lemah di jalan perjuangan merupakan satu motivasi, merasakan diri dihargai dan diperlukan, disamping mempertautkan hubungan ukhuwwah. Baginda Rasulullah SAW sendiri tidak mengkritik mahupun menyindir para sahabat yang lemah dalam perjuangan mahupun pertarungan, sebaliknya Baginda sering memuji mereka di saat-saat seperti itu.

Antara yang menjadi pengajaran ialah kisah Perang Hunain, di mana ketika tentera muslimin dihujani serangan mendadak, semuanya berpecah meninggalkan Rasulullah. Hinggalah Rasulullah memerintahkan bapa saudaranya, Abbas RA yang memiliki suara yang kuat untuk menyeru kembali tentera muslimin yang lintang pukang. Mulanya diseru Muhajirin dan Ansar, namun tidak berbalas. Kemudian diseru Ashabul Samrah dan Bani Khazraj, namun mereka juga tidak memenuhi seruan. Akhirnya Rasulullah memerintahkan untuk menyeru Bani al-Harith dengan pujian bahawa mereka adalah satu keluarga, mereka adalah orang-orang Arab yang sangat berani, menghadpi mati umpama meneguk air. Mereka sering dipuji para penyair Arab dengan kata-kata ‘Bila bertempur, matanya merah menjemput kematian’.

Pujian itu nyata membangkitkan semangat Bani al-Harith, mereka menyahut seruan Baginda itu dengan penuh rasa taklifan, lalu bertempur hingga akhirnya Islam menang.

Begitu juga tatkala kaum Ansar ‘merajuk’ terhadap Baginda berhubung pembahagian ghanimah. Lalu Baginda yang mulia memuji-muji kebaikan yang pernah dilakukan Ansar, mengingatkan kembali jasa dan pengorbanan besar yang pernah dicurahkan mereka untuk Islam dan RasulNya. Pujian itu mengundang air mata dari hati yang terharu. Sejak itu Ansar lebih bersemarak cintanya kepada Islam dan Baginda Rasulullah.

Begitulah kuasa pujian dalam membangkitkan kembali motivasi sahabat-sahabat yang mungkin benar lemah kerana faktor-faktor yang dihadapinya. Mungkin juga ia hanya tanggapan. Apapun kita lebih digalakkan berbaik sangka dan menyiasat, jika terbukti benar susulilah dengan pujian motivasi. Kenangkan kembali akan jasa dan kesungguhannya pada jamaah suatu ketika dulu. Jika terkesan pasti dia bangkit semula, jika dia masih terbelengu masalah pasti dia meluahkannya.

Tindakan untuk memboikot juga bukanlah sesuatu yang tepat. Sewajarnya difahami bahawa boikot itu terbahagi kepada dua yakni boikot untuk melumpuhkan dan boikot untuk menyedarkan. Boikot untuk melumpuhkan dituju kepada musuh-musuh Islam, sedangkan boikot untuk menyedarkan dituju kepada sesama muslim. Oleh itu boikot yang dilakukan kepada saudara sendiri perlulah nawaitunya untuk menyedarkan, itupun setelah syarat-syarat sebab pemboikotan itu wajar dilakukan telah ada. Juga cara pemboikotan itu mestilah mengikut syaratnya juga yakni diisytiharkan oleh pihak berautoriti seperti jamaah, fleksibel, adanya tempoh masa dan tidak mengabaikan hak asasinya.

Boikot oleh jamaah supaya ia dipatuhi oleh setiap ahli dan supaya ia meninggalkan kesan kepada yang diboikot. Fleksibel bermaksud jika yang diboikot insaf dan berubah, maka pemboikotan diterima sebagai selesai. Tempoh masa juga haruslah memberi ruang yang cukup untuknya berubah dan haknya seperti untuk makan, minum yakni hal-hal yang tidak menjejaskan asasinya perlu dipelihara.

Pun begitu, kuasa boikot oleh jamaah pada hari ini sebenarnya lebih mengundang keciciran kerana ‘dunia yang luas terbuka’. Pendakwah seharusnya memiliki fiqh penyelesaian bukannya fiqh hukuman. Sebelum ‘mencari salah sahabat’ sewajarnya dicari ‘salah diri sendiri’ terlebih dahulu.

Semoga usaha kita mengembalikan para pendokong ke saf perjuangan menuruti panduan yang telah ditinggalkan Baginda Nabi SAW, banyak lagi panduan yang Baginda tinggalkan yang tidak mampu untuk dicoretkan satu persatu dilembaran ringkas ini. Wallahu’alam.

sumber :
  1. http://www.fikrahislam.com

Posting Komentar

0 Komentar