Dalam Islam segalanya terjawab jelas

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Nama Ahmed Burhan Tee Abdullah tidaklah sepopular nama abangnya, Ridhuan Tee Abdullah yang kerap muncul di kaca televisyen dan memenuhi undangan ceramah-ceramah agama.

Hakikatnya, Burhan, 33, juga tidak kurang hebatnya. Biarpun masyarakat lebih mengenali `celoteh' Ridhuan namun Burhan, hebat sebagai seorang Peguam Cara/Peguam Bela dan Peguam Syarie di bawah syarikat guaman milik peribadi, Burhan Tee & Co. yang berpejabat di Bandar Baru Ampang, Selangor.

Malahan, penglibatan beliau di dalam dunia perundangan cukup menggambarkan kepetahannya dalam mengolah kata dan menyusun bicara, lebih-lebih lagi ketika mengendalikan sesebuah kes.

Nyata dua beradik ini sama hebat dalam bidang masing-masing, dan yang menariknya mengenai kedua-dua beradik ini ialah kepercayaan dan keyakinan menjadikan agama Islam sebagai pegangan hidup.

Menceritakan detik awal Burhan mengenali agama Allah s.w.t. katanya, sejak dari kecil lagi beliau gemar mendengar azan terutamanya alunan gema takbir.

``Bila sahaja terdengar laungan azan dan takbir, saya bagai terpaku seketika. Entah, tidak tahu mengapa tetapi perasaan tenang dan ia begitu sedap di dengar. Waktu itu pelbagai rasa hati silih berganti dalam benak dan fikiran. Malah, saya sentiasa tertunggu-tunggu setiap hari.

``Masa itu juga tidak timbul langsung soal memahami maksud di sebalik azan dan takbir tersebut. Jauh sekali, penghayatannya. Ia cuma suka-suka sahaja tidak lebih daripada itu,'' ujarnya.

Selain itu kata Burhan, semasa bersekolah kebangsaan setiap pelajar berpeluang sama ada mengikuti kelas lukisan ataupun agama Islam.

Pada masa itu, beliau memilih kelas agama Islam sejak dari darjah satu hinggalah tamat sekolah rendah.

Dalam masa yang sama juga katanya, tidak timbul bantahan daripada keluarga kerana menganggap Burhan masih kanak-kanak lagi.

``Sepanjang enam tahun itulah, diumpamakan `pucuk dicita ulam mendatang', kerana keinginan mengetahui tentang agama Islam sudah tercapai, meskipun hanya mengenali Islam secara buku,'' cerita Burhan mengimbau kisah zaman kanak-kanaknya dahulu.

Tambah Burhan, semakin meningkat usia, semakin kerap juga beliau membuat perbandingan antara agama Islam yang baru dikenali dengan agama asal ikutan turun temurun keluarganya.

Namun, seringkali tiada jawapan yang diberikan, malah hanya kemarahan yang diperoleh daripada ibu bapanya.

Hal ini semakin menguatkan keyakinan Burhan untuk mengikuti kelas-kelas agama Islam ketika di tingkatan satu hingga ke peringat tingkatan enam atas dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Akui Burhan, berbeza dengan agama Islam, setiap kemusykilan yang diutarakan kepada ustaz di sekolah terjawab dengan jelas dan logik.

Lantaran itu, tidak hairanlah hatinya lebih terbuka menerima agama Islam tetapi setakat tersimpan dalam diari peribadinya sahaja, Burhan tidak berani pergi lebih jauh lagi.

``Dilihat dari segi konsep ketuhanannya sahaja, menunjukkan perbezaan yang ketara antara Islam dengan agama lain.

``Namun yang sangat saya kesali ialah tidak ada jawapan daripada ibu bapa saya ataupun tidak ada sebab ke atas amalan-amalan yang kami lakukan selama ini.

``Malah jika dilihat kepada kejadian alam sekitar ini sahaja, menyedarkan kita tentang Kebesaran dan Kekuasaan Penciptanya.

Mustahil alam dan makhluk di muka bumi ini terjadi dengan sendirinya.

``Pembelajaran secara sembunyi-sembunyi, sedikit sebanyak memberi pemahaman yang jelas kepada saya berkaitan alam, manusia, amalan dan banyak lagi,'' ujarnya merasa puas apabila setiap persoalan ada jawapannya.

Kata anak bongsu daripada sepuluh adik beradik ini lagi, perubahan cara hidup dan pemikiran beliau berjaya dihidu oleh ibu bapanya.

Apa tidaknya, apabila sudah timbul kepercayaan dan keyakinan kepada agama Islam, beliau mula berubah sedikit demi sedikit, seperti tidak melaksanakan tanggungjawab kepada agamanya serta cuba mengubah cara hidup sebagai seorang Muslim.

Tambah mengeruhkan keadaan, apabila Burhan berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan peringkat STPM.

Waima, sekuat mana tentangan yang dihadapi, ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya.

Akhirnya setelah melalui pelbagai siri pujuk-memujuk, ibunya merestui dan akur dengan kehendak anak kesayangannya ini.

``Bila sahaja berada di UIAM dan berjauhan dengan keluarga, usaha saya untuk mendalami Islam semakin mudah, tambah pula mempunyai teman sebilik seorang Islam yang berbangsa Turki.

``Melalui Mehmet Hanafi Coskun dan pergaulan dengan semua orang, secara tidak langsung, memberikan banyak pendedahan terutamanya dari perspektif Islam.

``Malah keakraban hubungan saya dengan Mehmet hingga saya mengambil keputusan melancong ke negaranya selama sebulan. Di sinilah, hati saya rasa tenang dan bebas kerana saya berpeluang bersembahyang di setiap masjid yang terdapat di negara tersebut,'' akui Burhan yang akhirnya memeluk Islam secara formal sekembalinya dari Turki iaitu pada September 1997 di Perkim.

Sebelum itu, Burhan sudah melalui kursus pelatih dalam kamar selama enam bulan dan kemudiannya bekerja selama setahun di sebuah syarikat guaman di ibu kota, selepas menamatkan empat tahun tempoh pengajian di UIAM, iaitu pada 1995.

``Keputusan keluar dari `persembunyian' agama diterima oleh ibu dengan iringan kekecewaan. Walau bagaimanapun, perasaan ibu waktu itu, saya fahami.

``Semenjak itu, saya cuba memperbaiki hubungan kami dengan sentiasa menjenguk dan mengambil berat tentang ibu. Malah, saya dapat rasakan selepas memeluk Islam hubungan emosi antara kami lebih rapat dari sebelum ini,'' kata ayah kepada dua orang anak ini.

Perkahwinan Burhan dengan Noorjannah Thean, 35, pada 22 Mei 1998 kini diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata; Nurhannah Tee Carr Men, 3 1/2 tahun dan Nurduha Tee Carr-Li, 1 1/2 tahun.

Burhan yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) berhasrat mempelajari lagi tentang Islam tidak sekadar selepas mengucap dua kalimah syahadah.

``Salah satu daripadanya ialah mempelajari bahasa Arab serta memperbaiki diri agar menjadi seorang Muslim sejati.

``Malah penglibatan saya dengan MACMA juga disebabkan tidak mahu setakat melakukan perkara yang wajib bagi seorang yang bergelar Muslim tetapi mahu mempraktikkan apa yang telah dipelajari dengan membantu mereka yang memerlukan terutamanya kaum sebangsa,'' terang Burhan yang memperoleh kepuasan setiap kali dapat membantu mereka yang memerlukan.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive ... =ba_03.htm

Posting Komentar

0 Komentar